Saturday, October 30, 2010

Faktor kegemukkan


5 PUNCA UTAMA KEGEMUKKAN:

1.MAKANAN

Inilah punca utamanya! Kita tidak akan kegemukan jika kita hanya minum air kosong dan hirup udara. Realiti ini sepatutnya kita terima dan tidak boleh disangkal lagi, makananlah yang membina LEMAK yang berlipat-lipat di badan kita sehingga kita kelihatan
lebih tua dari usia, jalan termengah-mengah, berpeluh tak tentu tempat, sakit lutut, darah tinggi, kencing manis, malas, berat, tak bersemangat, susah nak dapat kerja (*sebab diaorang kata orang gemuk ini malas).

Berbagai lagi musibah yang melanda kita yang ada masalah kegemukan.

Kita kena tahu badan kita sebenarnya perlukan berapa banyak makanan (kalori) dalam seharian. Biasanya, wanita 1800 kalori manakala lelaki 2200 kalori.

Kalau kita makan lebih dari kuota 1800 – 2200 kalori ini, maka kita akan naik berat badan sedikit demi sedikit, kerana untuk naikkan 1kg berat badan kita kena kumpul 8000 kalori.

Kalau makanan adalah puncanya, bagaimana kita hendak atasinya?

Caranya,
(1) Cari penganti makanan yang boleh berikan khasiat yang cukup dan kalori yang minimum.
(2) Makan dengan berhemah, kunyah perlahan-lahan, makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi banyak kali
(3) Minum air kosong yang banyak (setiap 25kg berat badan kita perlu 1L air)-dengan minum air yang banyak, kita boleh kawal selera makan kita.
(4) Mula ambil kira berapa sebenarnya kalori yang kita makan dalam sehari.

INGAT YA, kita bukannya tidak boleh makan langsung, tapi kita masih
perlu berikan badan kita makanan yang SECUKUPNYA, kerana dari makananlah kita
dapat tenaga dan bahan-api untuk memastikan badan kita berfungsi dengan baik.

Bahan-api tiada = tiada tenaga = badan tidak sihat

2.JANTINA

Faktor kegemukan kedua iaitu jantina.

Anda tahu tak yang wanita/perempuan punyai kemungkinan
50% lebih tinggi untuk jadi gemuk? Kenapa ya?

Ia berkaitan dengan kemampuan sesuatu jantina itu membakar lemak pada keadaan rehat.Lelaki akan membakar lemak/kalori lebih 20%-30% lebih banyak dari wanita dalam keadaan rehat/santai. Ini adalah kerana, kandungan otot lelaki lebih tinggi berbanding wanita.

Fakta: 1kg otot bakar lebih kurang 31 kalori!
Fakta: 1kg berat badan kita perlu 1g protein untuk membina/mengekalkan
otot sedia ada.
*Jika kita senaman, maka keperluan akan menjadi 2g protein
setiap 1kg berat badan.

Sumber protein pula perlu datang dari;
25% – Protein haiwan (ayam, ikan, daging)
75% – Protein tumbuhan (soya, tempe, sayur-sayur)

Jadi, wanita sepatutnya lebih berhati-hati dengan keadaan ini. Secara terus terang, hampir 97% lelaki akan mudah jemu dengan wanita yang terlebih berat badannya.

Manakala, wanita pula hanya 4% mengambil berat tentang penampilan pasangannya.Tetapi lelaki janganlah mengambil ringan tentang penampilan kita pula.Lagipun kalau kita gemuk, macam-macam yang kita tak boleh buat.

Kenapa kita pilih untuk jadi gemuk, sedangkan kita bebas untuk memilih untuk jadi langsing, sihat, bergaya dan menarik!

3.KURANG AKTIVITI HARIAN

Pada edisi sebelum ini, saya mengupas tentang Makanan sebagai punca utama kegemukan, kali ini ia berkaitan dengan aktiviti kita seharian.

Zaman dahulu, dimana makanan susah untuk didapati, kita terpaksa mendaki bukit, meredah hutan, mengejar kijang (teruk juga nak berlari ni), sepanjang hari hanya untuk makan sekali pada malamnya! Namun sekarang, ia menjadi sangat mudah. Kalau memandu di jalan raya,
siap ada Drive Thru lagi. Kalau tampal sticker kat cermin depan siap boleh dapat aiskrim free lagi tu!

Sekarang makanan diproses di kilang dan diletakkan di almari pasaraya.Tidak perlu lagi kita berkejar-kejar untuk mendapatkan makanan. Memang susah untuk kita dengar yang kita kebuluran kerana kurang makanan.

Fenomena ini menyebabkan kita malas dan kurang bergerak. Duduk sahaja di ofis, kedai makan, depan TV, atas katil yang empuk. Kalau pergi berjalan-jalan pun ada esklator, lif, kalau kat airport tu, kita panggil walk-ator kot.

Apabila aktiviti harian kita menjadi sangat minimum, kemampuan untuk membakar makanan (metabolisma) yang kita makan akan menjadi sangat lemah. Badan kita hanya akan membakar sedikit sahaja kerana badan tidak perlu tenaga yang banyak disebabkan aktiviti kita yang kurang, tapi kita makan banyak!!

Apa yang perlu kita buat untuk atasi masalah ini?

Kita boleh lakukan macam-macam untuk meningkatkan aktiviti kita dalam seharian.

CONTOH;
1) Kalau pergi ke pejabat, kita parkinglah kereta kita di tempat letak kereta yang paling jauh sekali dari pintu masuk pejabat.

2) Kalau pejabat tingkat 30, kita naik lif sampai tingkat 24, lepas tu panjat tangga 6 tingkat. Masa balik turun sampai tingkat 8, lepas tu turunlah tangga. Turun tak penat sangat, jadi buat lebih sikit!

3) Kalau pergi pasaraya pun sama, parking jauh-jauh dari pintu masuk.

4) Depan TV kita angkat-angkatlah sikit dumble ke, atau beli alat senaman yang jenis pijak kiri dia naik kanan, pijak kanan dia naik kiri, yang elok baru RM150.

5) Cuci kereta sendiri. Kalau duduk apartment yang tiada paip kat bawah tu lagi syok, angkat baldi air dari rumah!

6) Bercucuk tanam, sayur ke, bunga ke, kalau duduk rumah tinggi tu, kat beranda atau tepi tingkap masih boleh letak pasu yang kecil-kecil tu.

7) Kalau rajin SENAMAN! Sikit-sikit dahulu pun tak jadi masalah.

Banyak lagi cara untuk kita tingkatkan aktiviti badan kita. Kalau nak seronok, keluar duit sedikit, beli jam yang boleh kira berapa kalori yang kita bakar sehari melalui aktiviti yang kita lakukan seharian. Buat rekod! Harganya RM450-RM600 dan biasanya dijual di kedai barangan senaman.

Kita tak perlu lakukan sekaligus, senaman atau aktiviti fizikal secara mendadak. Ini akan menyebabkan otot kita terkejut. Mulakan perlahan-lahan dan tambah dari minggu ke minggu.

Kalau kita tekad untuk lakukannya dan konsisten, bayangkan setahun dari sekarang? Pasti kita akan langsing, menarik, sihat, cergas, pantas dan bertenaga!

Setahun tu bukannya lama sangat, tsunami yang berlaku sebelum ini pun dah 4 tahun lepas!

Lakukan sedikit perubahan sekarang. Berdiri dan duduk 5 kali SEKARANG! Lihat kita dah bakar 5-10 kalori dah!

Amalkan hari ini lebih baik dari semalam!


4.KETURUNAN

Sebelum ini saya sudah kupas tentang Makanan,Jantina dan Aktiviti Harian sebagai punca-punca kegemukan.

Pernah tak dengar orang kata, satu keluarga aku gemuk, nenek, ibu, abang, adik, kakak, semuanya gempal-gempal belaka.

Sebenarnya, Keturunan juga membawa sedikit pengaruh terhadap badan kita, sama ada ia senang gemuk atau tidak.

Bagaimana kaitannya ya?
Dahulu kala, mungkin 1000 atau 3000 tahun dahulu, nenek moyang kita hidup dalam kesusahan bergantung pada kawasan mereka tinggal.

Sekumpulan tinggal di kawasan yang mudah untuk dapat makanan, dan mereka makan mungkin sekali sehari.

Manakala sekumpulan lagi tinggal di kawasan yang amat sukar untuk dapatkan makanan. Mereka mungkin makan sekali dalam 3-4 hari.

Penyesuaian akan berlaku pada badan mereka ini. Kadar metabolisma (pembakaran makanan) akan menjadi amat berbeza antara kedua-dua kumpulan ini.

Kumpulan yang pertama, agak tinggi dengan kemampuan untuk menyimpan lemak yang agak rendah.

Kumpulan yang kedua pula, metabolismanya sangat rendah dan mempunyai kemampuan
menyimpan lemak yang SANGAT tinggi!
*Lemak disimpan supaya boleh digunakan untuk jana tenaga dalam 3-4 hari kemudiannya yang mana makanan tiada.

Genetik jenis-jenis ini tertulis terus ke atas DNA (DeoxyriboNucleic Acid) kita dan ia kekal
sehingga sekarang.

Bayangkan kita berada di kumpulan kedua, Metabolisma rendah dan kemampuan menyimpan lemak yang tinggi. Jadi badan kita akan mudah menyimpan lemak.

Yang jadi masalahnya kita makan 3 kali sehari, bukan tiga hari sekali!
Jadi lemak yang tersimpan akan kekal disimpan kerana tidak pernah kita nak guna sebab tiada waktu darurat.

Jika anda rasa ada tergolong dalam kumpulan kedua, maka anda kena jaga makan dan tingkatkan aktiviti harian. Anda lebih cenderung untuk menjadi gemuk.

Tapi kita janganlah salahkan nenek-moyang kita pulak. Pilihan masih terletak pada tangan kita untuk jadi sihat langsing atau gemuk sakit.


5.KEKURANGAN ZAT DALAM MAKANAN

Sebelum ini, saya dah tulis 4 punca membuatkan kita gemuk. Makanan,jantina, kadar aktiviti harian dan keturunan. Kali ini saya tulis sedikit tentang masalah kekurangan zat dalam makanan kita seharian.

Baiklah, pernah tak rasa lapar, kemudian kita makan mee goreng kosong dengan teh “o” ais limau kurang manis, tetapi 2 jam selepas itu, kita rasa lapar semula dan kita terpaksa makan
pula karipap 2-3 ketul.

Kenapa perkara ini berlaku ya?
Lapar bermaksud sel dalam badan kita meminta zat-zat makanan tertentu dari kita. Contohnya, ia perlukan protein lebih kurang 35g bagi mengimbangi dan menjalankan fungsi tertentu.

Tetapi malangnya kita cuma makan mee goreng yang hanya mengandungi karbohidrat (mee), lemak (minyak masak) dan garam. Ini akan memberikan rasa kenyang sebentar. Sel badan kita masih menagih protein.

Jadi selepas beberapa jam, sel badan kita akan menghantar signal kepada otak supaya beritahu kita supaya makan lagi.

Kita akan makan lagi, tetapi malangnya kita tidak berikan apa yang sebenarnya sel badan kita mahukan. Proses ini berulangan dan menyebabkan kita termakan lebih daripada yang sepatutnya.

Kadang-kadang, kita cuba makan dengan sihat, sayur, buah, kurang gula, kurang garam dan macam-macam lagi yang orang kata sihat kita makan, tetapi kesannya tidak kelihatan.

Apa masalahnya?
1. Khasiat dalam makanan kita tidak sama lagi seperti dulu kala. Teknologi telah mengubah kandungan zat makanan.Saintis di Jepun, melaporkan bahawa kandungan Vitamin C dalam
epal dan oren di pasaran mereka HAMPIR KOSONG!

2. Cara memasak kita yang terlalu keterlaluan. Zat makanan akan hilang jika terkena panas yang keterlaluan.

3. Terlalu banyak makanan yang kita makan telah diproses sebelumnya. Strukturnya diubah, zat makanan menjadi tidak lengkap. Fishball, fishcake, sotongball, crabstick, sosej, nugget dan macam-macam lagi.

Makanan tidak berzat biasanya murah.

Kita perlu lakukan sesuatu supaya kita terselamat dari musibah
yang melanda kita sekarang. Cuba beberapa tips berikut;
1. Cuba tingkatkan makan makanan mentah. Buah, salad, tomato, timun, kacang botol, pegaga, petai dan ulam-ulaman yang lain mengantikan sayur yang kena masak. Makan sandwich dengan roti gandum berintikan tuna dalam tin, masukkan sedikit salad, timun, tomato dan sedikit sos cili, mungkin 5-6 kali seminggu. (Kita makan 21 kali seminggu). Sekurang-kurangnya kita sudah berjaya buat 25% perubahan!

2. Berkira-kiralah untuk mengambil makanan tambahan seperti Vitamin C, multi-vitamin dan macam-macam lagi yang ada di pasaran sekarang. Cuba dapatkan dari syarikat yang terkenal di dunia, jangan ambil dari sebarangan syarikat, kadang-kadang kandungannya tidak seperti yang di tulis.

3. Minum air kosong (kalau boleh tapis!) yang banyak supaya badan kita sentiasa bersih dan berfungsi dengan baik untuk membetulkan sistem penyerapan zat makanan (usus besar-filli)

Dah tiba masanya kita ambil berat tentang apa yang kita makan sebelum ianya terlambat. Mulakan hari ini dan muhasabah diri sentiasa.

Sumber:CSC

No comments:

Post a Comment